Thursday, August 29, 2013

Tentang Atuk

Bismillah.

Assalamualaikum.

Hari ini dah 29 Ogos 2013. Dah terlewat dua hari. Sepatutnya saya ingin menulis sedikit tentang kisah arwah Atuk saya di hari kelahirannya, 27 Ogos. Tapi, biasalah. Tak sempat. Itu jelah alasan yang ada. Huhu.

Saya dibesarkan oleh arwah Atuk dan Nenek saya, yang saya panggil 'Mak'. Keluarga dan sahabat-sahabat yang terdekat memang tahu saya duduk dengan mereka. Sebab itu, setiap kali cerita, mesti terselit perihal mereka. 

Atuk ni, memang lelaki yang tipikal. Maksud saya, tidak berapa 'friendly' seperti yang kawan-kawan saya selalu cakap. Susah sedikit nak senyum, selalu buat hal sendiri dan yang buat saya cakap Atuk lelaki yang tipikal sebab Atuk susah nak 'express' kasih sayang dia. Ada satu kali itu, kawan saya telefon ke rumah. Atuk saya yang jawab panggilan itu. Macam-macam Atuk saya tanya, sampai kawan saya takut nak telefon saya. Hehe. Yelah, dulu-dulu mana ada 'handphone'. Yang ada, telefon rumah. Memang jadi 'favourite' saya pun, bergayut dengan kawan-kawan. Walhal tiap-tiap hari jumpa je kat sekolah. =)

Walaupun Atuk ni pesara kerajaan, pencen pun tak seberapa, tapi Atuk masih belikan beras dan barang-barang asasi lain kat rumah. Telur, gula, tepung. Tak pernah putus. Dengan Atuk jugalah saya belajar makan petai, jering, sambal tempoyak, belacan, ikan masin. Tapi ada juga yang saya tak makan. Contohnya, sayur maman. Memang kegemaran Atuk tu.

Waktu saya belajar bawa kereta, Atuk selalu nasihatkan saya. Lepas saya dapat lesen P, tiap-tiap pagi sebelum saya pergi kerja (part-time), Atuk akan teman saya bawak kereta. Hampir sebulan Atuk akan 'coaching' saya sebelum saya dapat bawa kereta sendiri. Walaupun sekolah memandu saya 'taught me how to drive, but Atuk taught me how to be a driver'. Benda-benda yang kecil, tapi Atuk akan pastikan saya buat. Beri 'signal', pandang cermin sisi kanan dan kiri, cermin pandang belakang. Atuk juga ajar saya macam mana nak 'check' minyak hitam, air bateri kereta. 

Bila saya belajar di UM dan UiTM, saya memang akan balik ke rumah tiap-tiap minggu. Jarang sangat saya tak balik. Mesti balik punya. Hehe. Jadi, tiap-tiap minggu jugalah Atuk akan tunggu dan ambil saya di stesen KTM dan akan hantar saya balik. Dan selalu juga Atuk akan beri sedikit duit belanja. Bukannya banyak pun. RM 5, RM 10. Selalu juga Atuk bagi dengan 'note' duit seringgit. Kadang-kadang saya tengok dalam beg duit Atuk tu tak ada duit pun. Habis dia bagi pada saya.

Ada satu ketika, penglihatan Atuk kurang baik. Siap buat 'minor surgery' di Hospital Serdang. Saya tak ingat bila. Walaupun  ada sedikit peningkatan, tapi penglihatan Atuk memang kurang memuaskan. Setiap kali saya balik hujung minggu dan tiba di Stesen KTM pada waktu malam, memang saya kena tunggu Atuk. Kadang-kadang tu memang lama. Sebab Atuk tak nampak, silau dengan lampu kereta. Sedih. Tapi, Atuk tak pernah merungut. Kemudian saya akan ganti dan bawa kereta Atuk.

Sepanjang saya belajar di UM dan di UiTM juga, Atuk akan 'call' saya hampir setiap hari. Kadang-kadang tu, tak ada apa sangat pun. Masih terngiang-ngiang lagi di telinga, "Hello, buat apa tu? Dah makan? Jadi balik tak minggu ni?". Bukan lama pun Atuk telefon, adalah 2-3 minit. Dulu tak rasa, baru sekarang rasa rindunya nak dengar suara Atuk.

Waktu saya berkonvo dulu, Atuk memang semangat. Siap pakai 'Coat' lagi. Walaupun saya tahu Atuk tak berapa larat, tapi Atuk pergi juga. Kitorang siap dapat naik Van, hantar terus dari tempat parking sampai ke Dewan. Bertiga sahaja, saya, Atuk dan Mak. Atuk memang segak hari itu. Itu memang 'appearance' Atuk. Kalau baju Melayu, siap gosok sampai licin. Tak ada kedut-kedut. Atuk boleh menggosok baju berjam-jam. Huhu.

Waktu kenduri walimah saya pun macam itu. Atuk tak banyak songeh. Tak banyak kerenah. Saya bagi kain untuk Atuk buat baju Melayu, Atuk uruskan sendiri sahaja, sekali dengan baju untuk Mak. Atuk ada tambah-tambah sedikit duit untuk belanja 'catering'. Takut tak cukup. Tapi, alhamdulillah. Majlis berjalan lancar. Semua orang pun cakap, Atuk lah orang yang paling 'happy' waktu kenduri saya.

Tak berapa lama selepas kenduri saya, Atuk demam panas. Atuk pergi klinik sendiri saja. Siap masuk air, sebab demam panas sangat. Saya tak tahu, saya jadi marah sebab Atuk pergi sorang-sorang. Bayaran waktu tu pun mahal, dekat RM200 lebih. Lepas itu, Atuk jadi kurang selera makan, minum pun sedikit saja, Mula-mula tu boleh bangun lagi. Pergi tandas pun boleh. Tapi, dah lama-lama, Atuk tak boleh bangun sendiri. Kena orang pegangkan. Mak lah yang banyak tolong Atuk. Waktu tu pun Mak tak berapa sihat sangat. Saya gilir-gilir dengan Uncle, tidur rumah Mak dengan Atuk. Nak tolong tengok-tengokkan. Lama-lama tu, Atuk terbaring saja. Kurus. Bila panggil, Atuk pandang. Tapi Atuk tak boleh dengar. Dua hari sebelum Atuk meninggal, saya ada cakap dengan Atuk. "Dikna sayang Atuk". Lepas tu, saya nampak airmata Atuk. Sedih.

Jumaat, 27 Januari 2012. Waktu tu, saya tengah 'drive' nak pergi kerja. Saya dapat panggilan dari pakcik Muhit, jiran saya. Pakcik Muhit suruh saya balik tengok Atuk. Waktu saya sampai, Atuk dah tak ada. Saya cium dahi Atuk. Masih panas. Laju airmata saya. Saya sedih, tak dapat jaga Atuk betul-betul.

Kenangan dengan arwah Atuk memang banyak, sampai tak tertulis. Siapa saya pada hari ini, sedikit sebanyak hasil didikan Atuk. Di saat saya menulis ini, saya memang sangat rindukan Atuk. Walaupun Atuk saya biasa-biasa, tapi Atuk memang luar biasa di hati saya. 

 
Almarhum Harun bin Mat Yatim (1937-2012)




 Semoga sesiapa yang membaca, dapat sedekahkan Al-Fatihah pada arwah Atuk saya. 

Sekian, wassalam.

 

Thursday, August 15, 2013

Aidilfitri. Bergembira atau berduka?

Bismillah.

Assalamualaikum.

Alhamdulillah, 8 Ogos yang lepas seluruh umat Islam di Malaysia menyambut Aidilfitri setelah sebulan berpuasa. Tabalalallah minna wa minkum. Semoga Allah menerima amalan kami dan kamu. Seperti biasa, rakyat Malaysia lebih teruja dengan persiapan menuju raya berbanding dengan persiapan menghadapi Ramadhan. Saya pun sama, tidak terkecuali. Mungkin sebab dari kecil kita diajar begitu, menyebabkan keseronokan bertemu Ramadhan itu kurang berbanding Syawal. Baju raya, kasut raya, langsir raya, kereta raya. 

Memang kita digalakkan untuk meraikan Syawal, tapi lihat dulu bagaimana pengisian Ramadhan itu sendiri. Tadarusnya, iktikafnya, qiamullail, sedekah.   Saya segan sendiri bila mengenangkan Ramadhan yang lepas, berlalu begitu sahaja. Sedih. Ganjaran berlipat kali ganda, lebih dari sebelas bulan yang lain. Sebulan berpuasa, saya hanya sempat berterawih di surau hanya sekali saja. Saya mohon agar Allah ampunkan dosa saya, suami saya, ahli keluarga saya, sahabat-sahabat, serta muslimin dan muslimat dan semoga Allah menerima amalan kami yang tak seberapa ni.

Semoga tarbiah Ramadhan yang sebulan itu, dapat kita gunakan untuk tahun yang akan datang. Diharapkan, amalan-amalan seperti qiamullail, tadarus dan sedekah itu akan kita teruskan dan semoga kita semua istiqamah atas jalan Allah. Jangan pula, dek sedapnya lemang rendang, ketupat, kuih-muih menyebabkan kita lupa pada yang tiada.

Dalam kemanisan Syawal yang rakyat Malaysia tengah nikmati sekarang, jangan pula kita lupa pada saudara-saudara kita di Mesir, Syria dan Palestin dan juga di tempat-tempat yang lain. Doakan mereka. Semoga kemenangan berpihak pada mereka. Bayangkan kalau kita berada di tempat mereka. Masih berselerakah kita untuk makan yang enak-enak itu? Masih lenakah tidur kita? Ibu hilang anak, isteri hilang suami. Allahu. Syukur Allah masih mengetuk hati-hati kita dari terus alpa dek kelazatan dunia. 

Semoga Allah bantu mereka. Semoga Allah berikan semangat pada mereka untuk terus berjuang. Dan semoga Allah tetapkan hati-hati kita.

Sekian, wassalam.

Tuesday, August 6, 2013

Berikan sokonganmu.

Bismillah..

Assalamualaikum.

Tinggal dua hari lagi menjelang Aidilfitri. Saya dan suami masih pergi bekerja dek sayangkan cuti. Huhu. Imran pun masih lagi bersekolah. Nyaris-nyaris teacher nak cuti 'extra' hari ini. Adeh. Tak bolehlah macam ni teacher. Kami pun cuti sekejap saja, teacher nak cuti lama-lama. 

Ok. Hari ini saya nak berkongsi satu kisah. Alkisahnya, saya pergi servis kereta. Sudah sampai 'due' dan sempena nak berjalan jauh ni. Jadi kita kenalah pastikan yang kuda tunggangan kita dalam keadaan baik, kan? Waktu saya tengah menunggu tu, adalah seorang ibu dengan 4 orang anaknya. Yang sulung mungkin dalam darjah 4-5 macam tu. Dan yang bongsu baru berumur 3 bulan setengah. Ayahnya saya tak nampak pula. Mungkin belum masuk. 

Mula-mula, semua ok. Macam biasa. Tapi, mungkin sebab dah lama sangat, si bayi mula merengek. Anggapan saya, mungkin anak ini lapar. Ibunya hanya tepuk-tepuk, dodoi-dodoi saja. Bila bayi dah mula menangis dengan kuat, ibunya pun 'passing' lah si bayi ini pada ayahnya. Ayahnya yang sedang membaca surat khabar pun mula tarik muka. Erk? 

Si ayah sua pula dengan air kosong. Gulp? Tak jadi. Makin kuat pula bayi mereka menjerit. Orang lain yang tengah menunggu kereta masing-masing dah mula pandang-pandang. Kemudian, terdengar ibunya berkata, " Nak menetek la ni. Kat sini tak boleh menetek la sayang." Hmmm..

Si ibu bawa bayinya keluar, dodoi-dodoi. Tapi masih lagi menangis. Nak ambil susu dalam kereta, kereta pula tengah servis. Si ayah pun hanya duduk saja, buat tak tahu. Belum cerita lagi alkisah 3 orang anak mereka yang lain.

Saya memang susukan anak saya. Tapi, saya bukanlah nak pesimis pada ibu-ibu yang tak mahu susukan anak mereka. Mungkin ada sebab masing-masing. Tak boleh ke, susu dah tak ada ke, anak tak mahu menyusu badan ke. Macam-macam sebab. Tapi, tolonglah berbuat sesuatu. Pada si ibu, cari inisiatif macam mana nak menyusukan anak. Tutup dengan tudung ke, pakai 'nursing cover' ke. Kalau dah segan sangat carilah surau ke. 

Kalau tak mahu menyusu badan, bancuhlah susu awal-awal. Si ayah pula, bantulah isteri. Sekurang-kurangnya tolong pegangkan 'handbag', tolong awasi anak-anak yang lain. Kalau dah malas sangat kan? Aduhai, saya bukannya nak marah ke apa. Cuma kasihan pada bayi mereka yang menangis sampai dah hilang suara. 

Tolonglah para suami. Bantu isteri anda. Isteri bukan robot. Hargai isteri anda. 

Sekian, wassalam.




One happy family


 

Friday, August 2, 2013

Imran's first solid food

Bismillah..

Assalamualaikum.

Dah lama rasanya nak berkongsi cerita ini. Imran pun dah nak 7 bulan setengah. Biasanya ibu-ibu akan mula beri anak mereka makan apabila usia mereka mencecah 6 bulan. Kenapa 6 bulan? Ada ibu yang dah mula beri anak mereka makan seawal 4 bulan. Tak kurang juga yang menyebut, "Bersalin pun bukannya genap-genap 40  minggu. Ada yang awal, ada yang lambat. 

Mengikut WHO, kita boleh mula perkenalkan 'solid food' ini pada usia bayi 6 bulan, dan meneruskan penyusuan susu ibu sehingga umur 2 tahun. Kita bagi bayi kita makan pun bukannya macam kita makan. Cuma sedikit sahaja supaya bayi dapat belajar rasa makanan yang berbeza-beza. Selain itu, usus bayi pun bukannya 'terlebih' matang macam usus kita yang boleh sumbat macam-macam. 

Saya banyak belajar berkenaan tentang pengenalan 'solid food' ini melalui kumpulan ibu-ibu di Facebook.  Solid food for my baby dan HSFFYB  banyak memberi input pada saya yang tiada pengalaman tentang ini. Perkongsian, perbincangan membuatkan dua kumpulan ini nampak 'hidup'. Seronok bila tengok ibu-ibu berkongsi resipi dan bersungguh-sungguh memberikan yang terbaik buat si kecil. 

Saya mula berikan makanan solid pada Imran waktu Imran berumur lebih kurang 6 bulan setengah. Makanan pertama Imran adalah puri epal, diikuti dengan puri pear, avocado, bubur nasi kosong. Kemudian saya mula berikan Imran bubur nasi bercampur dengan keledek. Malangnya, Imran tak membuang air besar hampir 4 hari. Sehinggakan saya dah siap-siap nak bawa Imran pergi Klinik. Huhu. Alhamdulillah, mujur akhirnya Imran membuang juga. Hehe. Selepas rehat seminggu, saya sambung balik dan beri Imran bubur nasi dan lobak merah. Hasilnya, alhamdulillah. Setakat ini, Imran memang makan sahaja. Cuma kena tengok mood. Kadang-kadang habis, kadang-kadang tidak. 

Apapun, semangat ibu-ibu memang kena kuat. Memang penat, nak masak makanan sendiri, menyusu badan lagi, nak masak makanan dia yang rumit. Memang penat. Nak kopek, nak basuh, stim, 'blend'. Banyak kerja. Tapi, kepuasan. Itu yang tak dapat di beli bila tengok anak makan dan membesar dengan air tangan kita. Penat bekerja, bukan penghalang. Semoga Ummi terus sabar dan tabah. =)

Rujukan saya. 
Carta ini saya rujuk di HSFFYB di Facebook.
 

Sekian, wassalam.

Penat

  Tak tau nak mula macam mana. Dah bertahun-tahun hadap. Tapi sama juga. Penat. Penat betul nak jaga hati. Nak jaga hati orang. Nak jaga hat...